BAHAGIAN I
Ada berbagai-bagai pendapat mengenai
asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama
itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan
setengahnya pula mengatakan ia diambil dari 'kilatan ikan dalam air'
yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini
sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di
buminya.
Negeri Perak sebenarnya telah wujud
pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan
satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah
Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun
sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke
masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan
jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama
Perak Man.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian
seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan
dengan jumpaan-jumpaan tertentu.
Ini disusuli pula dengan zaman
Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain
kawasan di Tanah Melayu.
Selepas zaman ini, alam persejarahan
Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya
kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan
Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan
lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman.
Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.
Titik sejarah Negeri Perak sebenarnya
bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan
dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman
Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan
masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah
urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.
Negeri Perak lebih dikenali setelah
kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di
Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar. Dengan kejumpaan ini
ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih banyak kawasan
perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan peranan
yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun
temurun.
Implikasi dari perkembangan ekonomi ini
telah mengwujudkan masyarakat majmuk terutama kaum Cina yang bekerja
di lombong-lombong di negeri ini.
Inggeris yang telah lama menaruh hati
terhadap Negeri Perak telah campur tangan melalui Perjanjian Pangkor
l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut. Dari campur tangan ini
sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan J.W.W.Birch
sebagai Residen pertamanya.
Pada mulanya sistem Residen dijangkakan
mendatangkan implikasi yang baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang
menyeleweng dan ditambah dengan sikap masyarakat pribumi yang tidak
mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang diketuai oleh Datuk
Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun 1875.
Sistem Residen masih juga diteruskan
sehinggalah kedatangan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 194l. Negeri
Perak turut mengalami kepahitan semasa pendudukan Jepun hingga tahun
l945.
Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun
menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat
berlaku pada tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak
yang mana Parti Komunis Malaya bertanggung jawab mengenainya.
Selepas pendudukan Jepun di Tanah
Melayu kedudukan Negeri-negeri Melayu adalah tidak stabil. Ditambah
dengan kemunculan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan di
kalangan rakyat jelata. Inggeris sedaya upaya mengekalkan
kedudukannya dengan memperkenalkan beberapa sistem pentadbiran
seperti Malayan Union pada tahun l946.
Rakyat jelata mengembeling tenaga
bersama-sama dengan pembesar-pembesar negeri telah menentang
habis-habisan semua sistem Inggeris. Sehinggalah Inggeris
mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu pada tahun l957.
Kemerdekaan Tanah Melayu, bererti
kebebasan negeri-negeri gabungannya dan Negeri Perak adalah salah
satu dari negeri-negeri tersebut. Perkembangan pesat di semua bidang
terus berjalan sehingga sekarang setelah 34 orang Sultan memerintah
turun temurun.
Demi mengenang jasa pejuang-pejuang
kebangsaan Negeri Perak samada baginda Sultan sendiri mahu pun
pengikut-pengikutnya, maka makam-makamnya telah dipulih dan
diabadikan serta diisytiharkan sebagai pahlawan tanah air.
Zaman Pra Sejarah
Negeri Perak mengalami zaman pra
sejarahnya yang terbahagi kepada empat bahagian pada keseluruhannya
iaitu Zaman Batu Lama (Palaeolithic), Zaman Hoabinhian, Zaman batu
Baru (Neolithic) dan Zaman Logam (Metal Age).
Zaman Batu Lama (Paleolitik)
Zaman ini dianggarkan berlaku antara
400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi. Satu-satunya kesan
peninggalan ini di Tanah Melayu ialah tapak yang dijumpai di Kota
Tampan, Lenggong. Peninggalan zaman ini juga dikenali dengan
kebudayaan Tampan di mana peninggalannya merupakan alat-alat batu
yang belum sempurna buatannya.
Zaman Hoabinhian
Zaman ini dianggarkan berlaku antara
8,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi. Kesan peninggalannya
dijumpai di Gua Badak, Lenggong, Gunung Pondok, Padang Rengas dan
beberapa buah gua lagi di Negeri Perak; berupa alat-alat batu yang
lebih elok buatannya termasuk lesung batu untuk membuat pencelup
merah (haematite).
Zaman Batu Baru (Neolitik)
Zaman ini wujud antara 2,000 hingga 300
tahun sebelum masihi. Kesan-kesan daripada alat-alat peninggalan yang
dijumpai di Gua badak, Lenggong dan persekitarannya, Gua Tambun, Ipoh
dan lain-lain lagi berkeadaan lebih sempurna dan licin serta dapat
dikenali jenisnya. Mereka juga telah pandai menggunakan tembikar
untuk memasak makanan dan membuat pondok tempat tinggal. Disamping
itu mereka juga telah pandai bercucuk tanam.
Zaman Logam (Metal Age)
Zaman ini wujud antara 500 hingga 200
tahun sebelum masihi. Tempat-tempat yang pernah dijumpai seperti di
Changkat Menteri, Sungkai dan Slim River menunjukkan bahawa
masyarakatnya telah menggunakan logam seperti gangsa dan besi untuk
membuat mata lembing, mata kail dan mata anak panah. Terdapat juga
sejenis alat besi yang aneh bentuknya yang dikenali sebagai 'Tulang
Mawas' yang dijumpai tertanam di dalam kubur Batu Ubin.
Zaman Hindu/Buddha
Jumpaan di Kuala Selensing, Perak
dianggap sebagai zaman peralihan sebelum Hindu/Buddha, manakala zaman
Hindu/Buddha pula merupakan zaman pembukaan lembaran Sejarah Negeri
Perak. Pengaruh kebudayaan orang-orang India dan kepercayaan Hindu di
rantau ini sejak awal kurun masihi lagi telah mengubah sama sekali
sistem nilai masyarakat di Tanah Melayu. Jumpaan patung-patung
Hindu/Buddha dan beberapa alat pemujaan seperti di Bidor, Jalong dan
Pengkalan Pegoh membuktikan wujudnya pengaruh ini.
Perak Selepas Pra Sejarah
Zaman Kedatangan Islam dan Sebelum
Kesultanan
Kerajaan Manjung di Beruas dianggap
sebagai Kerajaan tertua di Perak. Selepas lenyapnya Manjung,
kira-kira pada awal kurun ke l5 telah wujud Kerajaan Melayu Beruas.
Dari bukti-bukti yang terpahat di batu nisan yang ada menunjukkan
bahawa sebuah Kerajaan Islam. Adalah dipercayai bahawa Islam datang
ke Perak melalui negeri seperti Melaka dan negeri-negeri di Pantai
Timur.
Di samping itu Islam telah berkembang
hingga ke pendalaman Negeri Perak melalui jalan Sungai Perak. Selain
Kerajaan Beruas terdapat kuasa-kuasa pembesar tempatan di Ulu Perak
seperti Kerajaan Roman, Tun Saban, To' Temong dan lain-lain kerajaan
yang belum dapat dikesan.
Zaman Kesultanan
Titik kegemilangan sejarah Negeri Perak
ialah setelah wujudkan sistem kesultanan yang merangkumi kawasan
seluas 8,ll0 batu persegi. Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah l pada
tahun l528 telah membuka lembaran baru ke arah pemodenan.
Kejumpaan bijih timah oleh Cik Long
Jaafar di Larut pada tahun l824 telah mencepatkan lagi kemajuan
Negeri Perak. Ditambah dengan kemasukan Inggeris pada tahun l874
telah memperkenalkan getah sebagai sumber ekonomi yang baharu. Akibat
dari ini banyak imigran terutama kaum Cina dan India datang ke negeri
ini.
Dari dua sumber ekonomi di atas di
samping sumber ekonomi tradisionalnya, Negeri Perak Darul Ridzuan
telah berkembang pesat di bawah naungan 34 orang sultannya hingga
sekarang ini.
Penjajahan Inggeris yang berlaku
bermula dari tahun l874 telah memperkenalkan beberapa sistem
pentadbirannya yang mana akhirnya wujud penentangan terhadap sistem
tersebut.
Campur Tangan Inggeris
Termeterinya Perjanjian Pangkor pada 20
Januari l874 antara Inggeris dan pembesar-pembesar Melayu Perak telah
mengesahkan kekuasaan Inggeris di Perak khasnya dan Negeri-Negeri
Melayu amnya. Beberapa faktor mempengaruhi campur tangan ini
diantaranya ialah kekayaan bumi Perak sendiri, pergeseran
pembesar-pembesar untuk berkuasa dan kacau bilau yang berlaku di
Larut antara puak-puak Cina.
Melalui campur tangan ini Inggeris
memperkenalkan sistem Residen yang dianggap dapat membaiki sistem
pemerintahan tradisional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan